03 June 2011

PERIBAHASA BERANGKAP


Definisi :

Harun Mat Piah (1989) :
Peribahasa berangkap ialah ungkapan peribahasa yang terdiri sekurang-kurangnya dua keratan yang sejajar, baik dalam sebaris atau lebih. Kemungkinan baris-baris itu tidak berhubungan dari segi rima tetapi terjalin dalam hubungan yang seimbang, iaitu sebagai pembanding atau pelengkap kepada yang lain.

Peribahasa berangkap ialah :
a. Peribahasa yang wujud dalam bentuk puisi
b. Dikenali juga sebagai peribahasa berirama
c. Puisi tidak terikat
d. Ditulis dalam rangkap, sekurang-kurangnya dua baris atau lebih
e. Pengucapan disusun dalam baris-baris yang berurutan dalam satu rangkap.

Ciri-ciri :

a. Bentuk yang tidak terikat
b. Dua baris serangkap atau lebih
c. Rima di hujung yang bebas
d. Suku kata sebaris yang tidak sekata
e. Tidak tentu jumlah perkataan sebaris

1. Ada peribahasa berangkap yang terdiri daripada dua baris
Lulus angan dilakukan,
lulus kaki dilangkahkan.
Biar bersimbah peluh di muka,
jangan tersingkap kain basahan.
Bongkok kail penyangkut insang,
bongkok fail penyangkut hutang.
Di dalam manis ada pahitnya,
Di dalam pahit ada manisnya.
Kalau puntung masih berapi,
jangan dihembus-hembus juga.
2. Ada peribahasa berangkap yang terdiri daripada empat baris
Tebu menyentak naik,
Meninggalkan ruas dengan bukunya.
Manusia menyentak turun.
Meninggla adat dan pusaka.
Kalau disendeng biduk di tebing,
betulkan galangnya.
Kalau tersendeng ikan di sungai,
siapkan serampangnya.
Banyak tampungnya,
Banyak pula penjahitnya.
Banyak tampalnya,
Banyak pula ragamnya.
Kalau hendak bergalah,
pergilah ke hulu-hulu.
Kalau hendak berdayung,
Hilirlah ke kuala.
Besar senduk dari belanga,
Besar pasak dari tiang.
Besar kepala dari kopiah,
Besar gelegar dari rusuk.
Ditebang tidak tertebang,
Ditebas juga jadinya.
Diempang tidak terempang,
Dilepas juga jadinya.
Kalau kayu sama tingginya,
di mana angin hendak lalu.
Kalau lantai sama tingginya,
Di mana letak aib malu.
Kalau berdagang di negeri orang,
Jangan buat lagak ayam jantan.
Belum duduk dah berlunjur,
Biar genting jangan putus.

Peribahasa Berangkap
Peribahasa atau ungkapan tradisional yang mempunyai subgenre seperti bidalan, pepatah, perbilangan, perumpamaan, lidah pendeta, kias ibarat, dan tamsil tidak tergolong dalam genre puisi kerana strukturnya bukan merupakan ungkapan atau kata-kata yang berangkap. Namun, dalam pustaka puisi Melayu tradisional terdapat sejumlah besar peribahasa yang wujud dalam bentuk puisi. Oleh itu, Za’ba (1966), Mohd. Taib Osman (1979) menamakan puisi ini sebagai peribahasa berangkap atau peribahasa berirama.
Menurut Harun Mat Piah (1989), peribahasa berangkap ialah ungkapan peribahasa yang terdiri sekurang-kurangnya dua keratan yang sejajar, baik dalam sebaris atau lebih. Kemungkinan baris-baris itu tidak berhubungan dari segi rima tetapi terjalin dalam hubungan yang seimbang, iaitu sebagai pembanding atau pelengkap kepada yang lain.
Seperti puisi-puisi Melayu yang lain, peribahasa berangkap juga boleh dikenal pasti berdasarkan ciri-ciri yang terdapat ada aspek struktur, tema, isi, dan fungsinya.
Asas pembentukan peribahasa berangkap ialah peribahasa. Seperti bahasa lisan yang lain, peribahasa berangkap berfungsi sebagai alat komunikasi, sama ada secara formal (digunakan dalam adat istiadat tertentu) atau tidak formal (terutamanya untuk menyindir, menegur atau mengkritik seseorang) dan sebagai alat pendidikan atau didaktik. Selain itu ia berfungsi sebagai “pembebas tanggungjawab perseorangan terhadap suatu kekuasaan” (Alan Dundes, 1989). Maksud daripada kata-kata ini ialah jika mengkritik (terutamanya menunjukkan kesalahan atau mencela) seseorang dengan menggunakan peribahasa, individu sasaran akan lebih mudah menerima daripada dikritik atau dicela secara langsung.Oleh: Qamarul Arifin Abdullah
Fungsi yang seterusnya ialah sebagai alat kawalan sosial dan pemantapan sesuatu sistem sosial dalam masyarakatnya. Selain itu sebagai media yang mempamerkan kebijaksanaan penutur atau pewarisnya (juga melambangkan kebijaksanaan masyarakat khalayaknya). Pewarisnya yang terhad menyebabkan mereka dianggap sebagai golongan yang eksklusif dan istimewa. Semakin banyak mereka mewarisi puisi ini semakin tinggi sanjungan masyarakat khalayaknya dan dapat menggambarkan ketinggian status seseorang dalam masyarakatnya. Peribahasa berangkap terhadap dalam teromba. Teromba hanya dimiliki oleh indivividu yang memegang kunci adat seperti ketua adat atau ketua lembaga. Oleh itu penguasaan puisi ini sekali gus dapat menunjukkan ketinggian status seseorang dalam masyarakatnya.

No comments:

Post a Comment