09 August 2012

Contoh Soalan SS


Bahagian B:  KARYA AGUNG SULALATUS SALATIN
Soalan 3.     Berdasarkan petikan di bawah jawab soalan yang mengikutinya
“Syahdan jika menjunjung duli, dahulu kepala bentara yang empat lima orang itu daripada sida- sida yang duduk di seri balai itu, melainkan segala menteri yang besar- besar. Adapun nakhoda Cempa yang pilihan duduk di seri balai; maka segala anak tuan- tuan yang bersahaja- sahaja duduk di selasar balai. Adapun segala perkakas raja, seperti ketur dan kendi, kipas dan barang sebagainya diselang- selang duduknya;melainkan puan dan pedang dikelek- kelekan kiri kanan pedang kerajaan itu, Laksamana atau Seri Bija Diraja memikul pedang itu.
                                                                              ( Dipetik daripada A. Samad Ahmad [ peny. ], 2003.
                                                                               Sulalatus Salatin Sejarah Melayu ( Edisi Pelajar).
                                                                     Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, halaman 75 )

a.    Nyatakan  adat istiadat yang terdapat dalam petikan.                           ( 1 Markah )
b.    Jelaskan 4 bentuk pantang larang                                                          ( 12 markah )
c.    Huraikan kepentingan adat istiadat dan pantang larang                     ( 12 markah )

Skema Pemarkahan
Soalan 3
a.    Nyatakan  adat istiadat yang terdapat dalam petikan.                                ( 1 Markah )
i-             Adat menyembah dan menjunjung duli- semasa menghadap raja
ii-            Adat menyambut utusan- bergantung besar atau kecil sesebuah kerajaan.
                                                                                                   Pilih 1 isi sahaja
                                                                       1 isi = 1 markah (1 markah fakta )


b.    Jelaskan 4 bentuk pantang larang                                                                       ( 12 markah )
Fakta 1: Pantang larang berpakaian.
Huraian: Rakyat jelata ( orang keluaran ) dilarang dari menggunakan pakaian yang berwarna kuning, di buat tepi tabir, ulasan bantal besar dan tilam, bungkusan barang, dijadikan barang perhiasan, kain, baju dan destar,  Begitu juga sekiranya ingin masuk ke istana seseorang itu harus memakai kain berpancung dan berkeris di hadapan serta bersebai sekiranya berkeris di belakang akan dirampas.
Fakta 2: Memiliki emas.
Huraian: Rakyat jelata  walau pun ia seorang yang berada dilarang memakai barangan kemas yang dibuat daripada emas bergelang kaki emas dan sekiranya berkeroncong emas berkepala perak pun tidak dibenarkan kecuali ia dianugerahi oleh raja dapatlah dipakai untuk selama-lamanya.
Fakta 3: Menderhaka.
Huraian: Rakyat jelata adalah ditegah sama sekali melakukan penderhakaan kepada raja, ini sesuai dengan pepatah Melayu yang mengatakan raja merupakan payung rakyat tempat berteduh, pantang Melayu menderhaka, sekiranya seseorang itu menderhaka maka balasan buruk bakal menanti iaitu hukuman bunuh, bagi penderhaka ia tidak layak untuk berada di atas bumi ini dapat di lihat dalam peristiwa Hang Jebat yang mati di bunuh apabila bertindak menderhaka ke atas Sultan Mansor menyebabkan beliau mati di bunuh di tangan sahabatnya sendiri Hang tuah atas arahan sultan, begitu juga dengan bangkainya turut dibuang ke laut serta segala anak bininya turut dibunuh manakala kaki tiang dan tanah bekas rumahnya turut dibuang ke laut inilah betapa besarnya kesalahan menderhaka yang dianggap tidak layak untuk berada di bumi.
Fakta 4: Biadap di hadapan Bendahara
Huraian: Peristiwa ini dapat dilihat apabila Tun Perpatih Hitam semasa dibicarakan oleh Bendahara Seri Maharaja maka Tun Hussain anak Tun Perpatih Hitam datang dengan berkeris panjang untuk mendapatkan ayahandanya dengan ini beliau telah berdiri sambil menguiskan tikar  dengan kaki, perbuatan ini dianggap satu perbuatan yang biadap menguis tikar di hadapan bendahara dan menyebabkan ia mati dibunuh oleh Laksamana manakala anakndanya juga turut dibunuh.
Fakta 5: Membina rumah dan berperahu.
Huraian: Rakyat jelata dilarang membuat rumah bermanjungan bertiang gantung, tidak berpijak ke tanah serta bertiang terus dari atap dan peranginan, sekiranya berperahu tidak boleh bertingkap, berpenghadapan dan tidak boleh memakai penduk dan teterapan keris.

                                                             Pilih 4 isi sahaja
1     isi = 3 markah (1 markah fakta 2 markah huraian / contoh )
3isi X 4 markah= 12 markah

C .Huraikan kepentingan adat istiadat dan pantang larang                                  ( 12 markah )
Fakta 1: Menggambarkan Keagungan Kerajaan Melaka.
Huraian: Adat istiadat yang tersusun rapi yang diperkenalkan oleh Sultan Muhammad Shah telah menggambarkan Kerajaan Melaka merupakan sebuah kerajaan yang agung, besar dan berdaulat. Sistem pemerintahan yang cukup kemas dan tersusun ( sistematik ) yang mana raja sebagai pemerintah yang dibantu oleh pembesar- pembesar yang berwibawa bagi melicinkan pentadbiran dan pemerintahan, jika dibandingkan dengan mana- mana kerajaan di kepulauan Melayu seperti Majapahit. Melaka adalah sebuah kerajaan yang tersusun maju dan bersistemmatik.
Fakta 2: Menggambarkan martabat raja yang tinggi/ Status kedudukan.
Huraian: Kedudukan raja yang tinggi dalam struktur pemerintahan dapat di lihat melalui segala adat istiadat dan juga pantang larang yang menunjukkkan perbezaan yang ketara dengan golongan yang di perintah contoh kedudukan raja semasa dalam balai penghadapan begitu juga dari segi pemakaian emas adalah barangan yang amat berharga adalah khusus untuk golongan raja sahaja. Ini jelas menunjukkan betapa tingginya martabat raja di kalangan rakyat.


Fakta 3: Menggambarkan Kerajaan Melaka sebuah kerajaan Islam yang unggul.
Huraian: Melalui adat istiadat yang terdapat dalam Kerajaan Melaka dapat menggambarkan Melaka adalah sebuah kerajaan Islam yang unggul di rantau Melayu ini dapat di lihat melalui peristiwa bagaimana sebuah kitrab Darul Mazlum  sebuah kitab dari negara Arab yang telah diarak dengan penuh penghormatan sehingga sampai ke istana Melaka. Begitu juga sambutan pada malam bulan Ramadhan iaitu malam 7 likur dan ianya patut dicontohi oleh setiap para pemerintah.
Fakta 4: Menggambarkan Rakyat yang taat setia.
Huraian: Melalui adat istiadat dan pantang larang dapat menggambarkan masyarakat Melayu yang patuh dan sanggup menjunjung segala perintah dan peraturan yang dikenakan oleh golongan pemerintah terhadap golongan yang diperintah. Mereka beranggapan bahawa raja adalah golongan yang  berdaulat oleh itu mereka memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada raja serta teguh memegang prinsip ‘Pantang Melayu Derhaka Kepada Raja’
Fakta 5: Mengukuhkan Institusi Istana dan pembesar Melayu.
Huraian: Melalui adat istiadat dan pantang larang dapat menggambarkan institusi istana dan kuasa pembesar dilindungi daripada ancaman- ancaman jahat yang cuba untuk menjatuhkannya dengan adanya adat dan pantang larang seolah- olah golongan rakyat cuba dinafikan hak mereka, walau pun ada di kalangan rakyat yang mampu memiliki kekayaan tetapi disebabkan adanya peraturan yang mengatakan rakyat biasa tidak boleh memiliki dan memakai barangan emas kecuali dianugerahi, maka secara tidak langsung golongan istana dan pembesar akan di pandang tinggi dan mulia dan tidaklah timbulnya perasaan bongkak akibat kekayaan di kalangan rakyat dan pada satu masa mungkin bertindak mencabar institusi beraja.
                                                                            Pilih 4 isi sahaja
                                     1 isi = 3 markah (1 markah fakta 2 markah huraian / contoh)
                                     4 isi X 3 markah= 12 markah