09 August 2010

Kesusasteraan Melayu Tradisional

Mengenali Mata Pelajaran Kesusasteraan Melayu 922/1


UMUM TENTANG KM 1

Kesusasteraan Melayu 922/1 dikenali juga sebagai Kesusasteraan Melayu Tradisional atau Kesusasteraan Kertas 1. Para pelajar perlu mengetahui, membaca dan memahami SUKATAN PELAJARAN Kesusasteraan Melayu 922 yang boleh dimuat turun dari laman web Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM). Secara umum Kesusasteraan Melayu peringkat STPM dibahagikan kepada dua kertas. Kertas 1 adalah Kesusasteraan Melayu Tradisional dan Kertas 2 adalah Kesusasteraan Melayu Moden. Para pelajar boleh mengetahui dengan lebih lanjut tentang kertas dua melalui beberapa blog dan web yang sedia ada di internet. Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini blog ini hanya akan memfokuskan kepada Kertas 1.



Berdasarkan kertas soalan Kesusasteraan Melayu 1 (oleh MPM) soalan peperiksaan STPM kesusasteraan Melayu kertas 1 terdiri daripada 4 bahagian iaitu bahagian A, B, C dan D. Pembahagian kertas 1 ditunjukkan melalui keterangan di bawah:



BAHAGIAN A : SEJARAH KESUSASTERAAN MELAYU TRADISIONAL

BAHAGIAN B : KARYA AGUNG (SULALATUS SALATIN SEJARAH MELAYU)

BAHAGIAN C : PROSA MELAYU TRADISIONAL

BAHAGIAN D : PUISI MELAYU TRADISIONAL



ASPEK-ASPEK KAJIAN



Pelajar akan mengkaji aspek-aspek yang dinyatakan seperti berikut:



1. Pengenalan

2. Jenis Kesusasteraan Melayu Tradisional

3. Sejarah Kesusasteraan Melayu Tradisional

4. Karya Agung

5. Prosa Melayu Tradisional

6. Puisi Melayu Tradisional



Pengenalan tentang Kesusasteraan Melayu Tradisional dari aspek definisi iaitu definisi umum tentang kesusasteraan tradisional dan definisi khusus tentang kesusasteraan Melayu tradisional. Pelajar juga akan mengkaji tentang fungsi yang meliputi kefungsian dari segi pendidikan,/pengajaran/didaktik dan juga dari segi kepuasan estetik.



Jenis Kesusasteraan Melayu Tradisional membawa pelajar menerokai dua cabang kesusasteraan Melayu tradisional iaitu prosa tradisional dan puisi tradisional. Prosa tradisional dipecahkan kepada naratif dan bukan naratif. Naratif pula dipecahkan lagi kepada naratif lisan dan naratif tulisan. Naratif lisan terdiri daripada metos, legenda dan cerita rakyat. Manakala naratif tulisan terdiri daripada Sastera sejarah, Sastera hikayat, Sastera panji dan Sastera kepahlawanan/epik. Prosa tradisional bukan naratif pula terdiri daripada Sastera undang-undang, Sastera agama Sastera kitab, Sastera ketatanegaraan. Puisi Tradisional juga boleh dipecahkan kepada puisi yang berbentuk naratif dan bukan naratif. Puisi tradisional yang digolongkan berbentuk naratif ialah syair, manakala yang bukan naratif ialah Pantun, Gurindam, Endoi, Rejang Dikir/Zikir, Ruba’I, Nazam, Masnawi, Ghazal, Barzanji, Qit’ah, Seloka, Teromba, Talibun, Peribahasa berangkap dan Mantera.



Sejarah Kesusasteraan Melayu Tradisional menyorot tentang tahap, tokoh dan persoalan dan latar masyarakat.



Dalam penelitian terhadap tahap, pelajar akan didedahkan dengan kemunculan dan perkembangan sastera lisan (tumpuan kepada cerita rakyat, mitos, dan legenda) dan sastera tulisan secara khusus (sukatan pelajaran kesusasteraan Melayu, MPM 2004 m.s. 3) dengan menggunakan pendekatan dari segi zaman iaitu zaman pra-Islam dan zaman Islam.



Kajian terhadap tokoh dibuat dengan memberi penekanan kepada latar, sumbangan, dan kepentingan tokoh-tokoh sastera Melayu tradisional seperti Tun Seri Lanang, Hamzah Fansuri, Bukhari al-Jauhari, Nuruddin al-Raniri. Sheikh Daud al-Fatani, Raja Ali Haji, Syed Muhammad bin Zainal Abidin dan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani.



Manakala persoalan dan latar masyarakat pula adalah kajian ke atas gambaran kepercayaan dan cara hidup dalam karya. Aspek-aspek yang dikaji dalam bahagian ini ialah Keagungan raja dan Negara, Kepahlawanan, Kesetiaan rakyat, Panduan untuk raja, pembesar, dan rakyat, Keagamaan dan kepercayaan, Pendidikan/moral dan Gambaran masyarakat.



Karya Agung dan Prosa Melayu Tradisional membawa kepada kajian terhadap pengenalan umum definisi, fungsi, ciri/sifat sastera, dan kedudukan. Di samping itu kajian juga melibatkan penghayatan intrinsik dan ekstrinsik sesuatu karya yang dikaji.



Akhir sekali kajian KM1 peringkat STPM melibatkan aspek Puisi Melayu Tradisional. Kajian melibatkan pengenalan secara umum tentang definisi, fungsi, cirri/sifat sastera dan kedudukan. Kajian juga menelusuri aspek penghayatan intrinsik dan ekstrinsik.





TEKS KAJIAN



1. SULALATUS SALATIN

Sulalatus Salatin Sejarah Melayu yang digunapakai pada peringkat STPM adalah hasil usaha A. Samad Ahmad dan diterbitkan oleh DBP. Pelajar dapat membeli buku ini dengan harga yang lebih murah kerana pihak DBP ada mengeluarkan edisi khas untuk pelajar dengan harga RM 11.00. Di bawah ini adalah kulit muka hadapan Sulalatus Salatin seperti yang diterbitkan oleh DBP.

2. MUTIARA SASTERA MELAYU TRADISIONAL

Diselenggarakan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia dan diterbitkan oleh DBP.



3. SEJARAH KESUSASTERAAN MELAYU TRADISIONAL

Sukatan Pelajaran Kesusasteraan Melayu 922 STPM menyatakan “Tidak ada teks kajian untuk tajuk-tajuk tentang Sejarah Kesusasteraan Melayu Tradisional dan Moden serta Kritikan Sastera. Calon hendaklah merujuk kepada buku-buku yang dinyatakan dalam Senarai Rujukan (sekadar cadangan) mengikut kehendak sukatan pelajaran bagi bahagian ini.”



Senarai Rujukan



Berikut adalah buku-buku yang boleh digunakan sebagai rujukan untuk bahagian ini:



Pengenalan Kesusasteraan dan Kritikan Sastera:

Ahmad Kamal Abdullah, Mohd Thani Ahmad, Safian Hussain, Suhaimi Hj Muhammad (penyelenggara), 1988.

Glosari Istilah Kesusasteraan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ali Ahmad, 1997. Pengantar Kesusasteraan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hashim Awang, 1988. Kritikan Kesusasteraan - Teori Dan Penulisan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

_________, Othman Puteh, Ramli Isin, Sahlan Mohd Saman (penyelenggara), 1985. Mendekati Kesusasteraan

Melayu. Petaling Jaya: Fajar Bakti Sdn Bhd.

Noriah Taslim, 1993. Teori Dan Kritikan Sastera Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sahlan Mohd Saman, 1986. Sastera Bandingan Konsep Teori Dan Amalan. Petaling Jaya: Fajar Bakti Sdn Bhd.



Sejarah Kesusasteraan Melayu Tradisional:

Ismail Mat (penyunting), ] 1993. Ulama Silam Dalam Kenangan. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Jamilah Hj Ahmad dan Zalila Sharif, 1993. Kesusasteraan Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad A. Bakar (penyelenggara), 1991. Ulama Terengganu Suatu Sorotan. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Teuku Iskandar, 1995. Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad. Shah Alam: Malindo Printers Sdn Bhd.

Definisi Kesusasteraan

Tajuk ini tidak terdapat dalam sukatan pelajaran KM1 STPM. Walau bagaimanapun penulis menganggap ia mempunyai kaitan langsung dengan kajian seterusnya tentang Kesusasteraan Melayu Tradisional. Ali Ahmad : 1994 menyatakan Soal mencari definisi kesusasteraan merupakan salah satu perkara asas bagi ilmu kesusasteraan. Jika tidak pun ia bolehlah digunakan sebagai bacaan tambahan untuk pelajar-pelajar Kesusasteraan Melayu STPM.